Assalamualaikum.
Bukan kali pertama saya dengar, baca dan perhatikan yang mana kerjaya guru dipersendakan. Paling ketara apabila masyarakat memandang kerjaya guru kerjaya yang banyak cuti. Setahun persekolahan, guru mendapat pelbagai cuti termasuklah cuti bencana.
Baru-baru ini terbit satu sketsa karikator di sebuah akhbar yang seolah-olah mempersendakan kerjaya guru. Oh, sebagai seorang guru, saya amatlah kecewa dengan tanggapan ini. Bagi saya, setiap kerjaya mempunyai peranannya sendiri.
Betullah mengikut pekeliling, guru hanya bertugas lima hari seminggu dari jam 7.30 pagi dan ada yang sudah menamatkan waktu persekolahan pada jam 1.30 tengah hari. Jika di sekolah menengah boleh mencecah jam 2.30 petang.
Namun itu masa rasmi waktu bertugas seorang guru. Bagaimana pula dengan waktu tidak rasmi? Kerja-kerja guru tidak pernah selesai setakat waktu rasmi itu sahaja. Adakala berlarutan hingga petang dan malam serta hujung minggu juga.
Berbanding kerjaya lain, pelanggan guru ialah murid. Murid itu ialah manusia. Bukan mudah untuk berurusan dengan manusia. Pepatah ada mengatakan, doktor jika tersalah bagi ubat akan rosak seorang itu sahaja, tetapi guru jika tersalah mengajar akan rosak semua generasi muridnya.
Tugas mencabar guru kini yang bukan sahaja mengajar di dalam kelas sedikit sebanyak memberi tekanan kepada guru. Bahkan kerja-kerja itu tidak siap jika dilakukan hanya pada waktu persekolahan rasmi sahaja. Oleh itu, kerja-kerja itu akan dilakukan di luar waktu bekerja. Jika hendak disenaraikan tugas lain sudah tentulah banyak dan tugas itu tidak tetap yang itu-itu sahaja.