Assalamualaikum.
Berapa Harga Sejilid Nota
Ini bukan manuskrip novel, kumpulan puisi atau kumpulan cerpen. Ini merupakan sebahagian nota sewaktu saya belajar di UPM dahulu.
Tiada istilah "pembakaran nota" selepas tamat pembelajaran bagi saya. Sebaliknya, setelah tamat belajar tiga tahun, saya jilidkan supaya nota-nota itu masih dalam keadaan selamat, tersusun dan mudah untuk sesiapapun membuatkan rujukan.
Nota ini merangkumi subjek pembelajaran seawal semester pertama hingga terakhir. Antaranya termasuklah Analisis Penyuntingan Teks dan Penulisan Laporan, Berita dan Rencana yang diajar oleh Dr. Nor Azuwan Yaakob, Perekaan dan Penerbitan oleh Pn. Jama'yah Zakaria, Penulisan Puisi dan Drama dan Penulisan Cerpen dan Novel oleh Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin dan Teori Kesusasteraan oleh Dr. Kamariah Kamarudin dan lain-lain.
Barangkali ada juga yang tercicir satu dua, namun apa yang ada tidak harus lenyap dimakan api atau terbuang begitu sahaja. Biar perlu mengeluarkan modal sedikit, namun itu lebih berbaloi.
Subhanaallah, saya tidak menyangka anggapan awal saya apa yang saya belajar itu sekadar proses pembelajaran dan tidak tahulah bila masanya akan saya gunakan atau sebaliknya membeku, mengurai dan lesap begitu sahaja.
Pada ketika ini, barangkali ilmu yang saya tuntut itulah yang saya gunakan sewaktu menulis tanpa saya sedari. Terima kasih kepada "guru-guru" yang telah memaknakan harga sejilid ilmu ini kepada saya.